Pentingkan kesejahteraan diri anda

Tahap kerentanan dan daya upaya seseorang itu untuk menghadapi keganasan berdasarkan gender dalam talian berbeza bagi setiap individu, dan bukan ada satu emosi tepat yang mereka perlu alami. Anda mungkin tidak berasa apa-apa pun, atau ada perasaan takut, marah, gelisah, malu, atau gejalanya muncul secara fizikal termasuk jantung berdebar, susah tidur, susah bernafas dan rasa mual. Semua emosi yang timbul dalam diri anda adalah wajar. Maklumat peribadi anda mungkin mempunyai nilai berbeza untuk orang lain, berdasarkan identiti-identiti sosial yang terpakai.

Di sini kami telah menyusun senarai panduan yang telah dikongsi oleh pemandiri keganasan berdasarkan gender dalam talian. Setiap satu daripada kita melalui pengalaman yang unik. Oleh itu, jangan risau jika reaksi atau tindak balas anda berbeza berbanding pemandiri-pemandiri lain. Kami harap anda menemui sesuatu yang berguna untuk diri anda di sini, untuk membantu anda melalui perjalanan sukar ini.

Ia bukan salah anda

Ia amat penting untuk ingat, apa yang berlaku bukan salah anda. Anda ada hak untuk wujud atau mengekspresi diri anda dengan bebas, tanpa dikenakan apa-apa gangguan dan keganasan. Si pemangsa dan pengganggu yang membawa kemudaratan, bukan anda.

Masa berehat

Anda disyorkan untuk meluangkan masa jauh dari peranti anda atau platform-platform digital di mana anda mengalami keganasan tersebut. Jika perlu, ambil cuti rehat dari kerja atau dari kerja-kerja seharian. Fokus kepada projek peribadi atau kerja-kerja mudah seperti mengemas jika ia membuat anda berasa lebih aman. Lakukan perkara yang membawa kesenangan kepada minda dan tubuh anda, dan ini berbeza untuk setiap individu mengikut minat mereka. Dengarkan isyarat-isyarat dari tubuh anda dan jangan berasa bersalah tentang mengambil sehari atau beberapa hari untuk berehat.

Bercakap dengan seseorang

Jika anda berkemampuan, cuba berhubung dengan kenalan yang mengambil berat tentang kesejahteraan diri anda. Ia mungkin sukar untuk menerangkan dengan kata-kata, tentang apa yang anda lalui. Lebih-lebih lagi, keganasan berdasarkan gender dalam talian yang masih tidak difahami secara keseluruhan, dan trauma anda juga mungkin masih segar. Cuba dapatkan kenalan yang anda percayai untuk membina ruang selamat untuk anda dan kegelisahan emosi dan fikiran anda, Mulakan dengan berkongsi tentang apa yang berlaku, apa perasaan anda dan apa yang anda mahukan dari orang yang mendengar dari segi sokongan. Beban yang anda tanggung boleh diringankan apabila ia dikongsi dengan seseorang yang menyokong dan memahami anda. Anda tidak melalui semua ini bersendirian. Bantuan pakar kesihatan mental juga boleh menolong anda, lebih-lebih lagi jika anda telah sampai ke tahap di mana anda telah putus harapan atau lumpuh dengan ketakutan; atau anda bercerita tentang keganasan itu secara berlebih-lebihan, atau anda susah untuk menikmati apa-apa, atau anda susah untuk makan atau tidur.

Minta bantuan

Ia bukan satu masalah jika anda berasa tidak berdaya dan meminta bantuan dari kenalan yang anda percayai. Jika anda berfikir untuk membuat dokumentasi tentang keganasan tersebut, tetapi takut untuk kembali ke platform-platform digital yang berkenaan, minta bantuan dari kenalan yang anda percayai. Mereka boleh membantu anda mengambil tangkapan skrin keganasan/bukti dan simpan pautan yang berkait. Pastikan tangkapan skrin itu mengandungi tarikh serangan tersebut. Dapatkan maklumat lanjut tentang dokumentasi keganasan berdasarkan gender dalam talian di sini.

Bersuara

Ia pilihan anda jika anda ingin berdepan, secara dalam talian, dengan pemangsa itu. Ingat, ini bukan salah anda dan mereka tidak sepatutnya mengganggu atau menyakiti diri anda. Keputusan ini perlu bersandarkan dengan apa yang anda rasa tepat untuk diri anda, dan apa yang membuat anda berasa selamat. Ingat, anda juga ada hak untuk tidak memberi apa-apa tindak balas atau tidak berberhubung dengan pemangsa itu. Jika anda tidak berdepan dengan pemangsa itu, ia tidak bermakna anda melucutkan kuasa anda. Ia bermakna anda prihatin dengan kesihatan mental diri anda dan ada perkara lain yang lebih penting yang perlukan fokus anda.

Jika anda tergerak untuk bersuara dan berkongsi tentang gangguan dan keganasan yang anda alami, anda mempunyai kuasa sepenuhnya untuk menentukan bagaimana dan di mana anda mahu bersuara. Pengalaman mengajar kami, yang bersuara itu membantu dari banyak sudut, termasuk memberi amaran kepada orang lain yang mungkin menjadi mangsa pemangsa sama, berhubung dengan mangsa-mangsa yang melalui trauma yang sama dan mengembalikan kuasa yang telah dirampas dari mereka. Bersuara di ruang awam, lebih-lebih lagi di media sosial, boleh menghubung anda dengan mereka yang memberi sokongan kepada anda atau mereka yang mengalami keganasan yang sama. Kita hidup dalam masyarakat yang membiasakan keganasan berdasarkan gender dan akan ada yang tidak mempercayai cerita anda, dan mungkin akan cuba menghina atau mengejek anda dengan menyalahkan anda. Fokuskan kepada sokongan dan tindak balas positif yang anda dapat selepas bersuara, dan jangan dipengaruhi oleh komen yang menghina dan berniat jahat. Gunakan tenaga anda untuk membuat anda berasa aman dan lebih berkuasa.

Jika anda ingin berkongsi pengalaman keganasan seksual anda, sumber perkongsian di bawah mungkin boleh membantu: #SupportSurvivors Series Part 2: Naming & Tagging Sexual Assault Perpetrators on Social Media

Last updated