Memahami Keganasan Berdasarkan Gender Dalam Talian

Seorang yang tidak dikenali menghantar gambar kemaluan lelaki melalui mesej peribadi Instagram anda.

Pasangan anda berkongsi gambar intim anda kepada kawan-kawannya di ‘group chat’ Telegram.

Anda menerima ugutan rogol selepas menaik muat kisah peralihan anda menjadi wanita-trans di muka Twitter peribadi anda.

Ini beberapa contoh keganasan berdasarkan gender dalam talian (OGBV) dan ia ‘risiko’ atau ‘kejadian rutin‘ yang perlu diambil kira oleh wanita, kanak-kanak wanita, dan individu LGBTQI o Pengalaman keganasan tersebut, tahap keberatannya dan kesan buruknya berlainan untuk setiap orang berdasarkan identiti sosial anda dan kemampuan anda untuk mendapat sokongan dan bantuan.

Walaupun OGBV menjadi-jadi sekarang, pengiktirafan tentang kesan dan penyelesaian untuk mereka yang mengalami OGBV masih di tahap rendah atau tiada langsung. Sebahagian dari sebab kurangnya kesedaran ini dan kekurangan mekanisme untuk menangani insiden-insiden OGBV, adalah kerana kepalsuan di antara “dunia-nyata” (offline) di mana semua orang wujud, dan “dunia-siber” (offline) di mana kewujudan itu kabur dan tidak “cukup nyata”. Walaubagaimanapun, keganasan emosi dan mental mampu menjelma secara fizikal bagi mangsa keganasan tersebut.

Di masa ini, tiada takrifan secara menyeluruh untuk OGBV. Definisi yang selalu digunakan adalah daripada Laporan Pelapor Khas Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Keganasan terhadap Wanita:

Takrifan (keganasan berdasarkan gender dalam talian) oleh itu diperluaskan kepada apa-apa perbuatan keganasan berdasarkan gender terhadap wanita yang dilakukan, dibantu atau diburukkan lagi di mana sebahagiannya atau sepenuhnya menggunakan ICT, seperti telefon bimbit dan telefon pintar, internet, platform media sosial atau emel, terhadap wanita kerana dia wanita, atau memberi kesan yang lebih buruk terhadap wanita.

Mari kita kupas definisi ini.

..apa-apa perbuatan keganasan terhadap wanita….

OGBV bukan sesuatu yang baharu atau disebabkan oleh teknologi baharu atau platform media sosial baharu. Sebenarnya, sebuah laporan dari Forum Tadbir Urus Internet (IGF) Forum Praktik Terbaik berkenaan gangguan dalam talian dan keganasan berdasarkan gender menyatakan bahawa: “perbuatan-perbuatan ini adalah sambungan daripada keganasan berdasarkan gender, seperti keganasan rumah-tangga, menghendap dan gangguan seksual, atau memilih mangsa berdasarkan gender atau seksualiti”

Contohnya, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) telah melaporkan bahawa di dalam beberapa kes keganasan rumah-tangga yang mereka uruskan, kaedah SMS dan platform mesej seperti WhatsApp dan Facebook Messenger, telah digunakan untuk memeras ugut atau menghalang pasangan dari meninggalkan hubungan yang tidak sihat. Kegunaan alat-alat ini, untuk menghalang seorang isteri meninggalkan suami mereka yang melakukan keganasan rumah-tangga, semakin berleluasa.

Satu contoh lain ialah bagaimana wanita dan kanak-kanak perempuan sering diganggu secara seksual oleh orang yang tidak dikenali apabila mereka memuat naik gambar mereka di media sosial. Bukankah ini sama seperti wanita yang diganggu di tepi jalan?

Atau bagaimana kaum lelaki berasa selesa untuk menghantar gambar kemaluan mereka kepada wanita melalui mesej peribadi. Ini sama seperti orang yang sengaja menunjuk kemaluan mereka di khalayak ramai, tetapi secara digital.

..sebahagiannya atau sepenuhnya meggunakan ICT…

Walaubagaimanapun, sudut teknologi menambah ciri-ciri seperti ulangan, peniruan dan peluasan, yang boleh tingkatkan dan parahkan lagi kesan buruk, dan membawa kepada bentuk-bentuk baharu dalam ruang keganasan berdasarkan gender. Contohnya, ‘zoom-bombing’ menjadi kaedah yang semakin terkenal semasa pandemik Covid-19 semasa semua orang berada di rumah. Pemangsa akan mengambil alih panggilan video berkumpulan dengan memasukkan bahan-bahan yang seksis, membenci wanita, membenci homoseksual dan berbaur perkauman.

Jaringan dan hubungan yang kita bina di platform digital boleh juga menyebarkan keganasan di platform digital, seperti gambar intim tanpa izin atau fitnah terhadap kaum wanita. Kesan buruknya dua ganda: lapisan pertama adalah pemangsa utama yang memulakan keganasan tersebut dengan menunjukkan dan menyediakan bahan tersebut di dalam talian; lapisan kedua adalah pemangsa berkait yang menyebarkan atau mengambil bahagian dalam keganasan tersebut (secara sengaja atau tidak) atau mengambil bahagian dalam membesarkan (signal boosting) keganasan tersebut dengan ‘like’, ‘retweet’, menghantar semula, atau memuat turun bahan tersebut dan menghantar ke platform lain. Sesetengah pemangsa lapisan kedua mungkin menambah keganasan itu dengan menghubungi mangsa atau kenalannya yang berkaitan.

..kerana dia wanita atau memberi kesah lebih buruk terhadap wanita.

Sesiapa pun boleh menjadi mangsa keganasan dalam talian dan sebuah gambar intim seorang lelaki juga boleh disebarkan tanpa izinnya. Ya, insiden seperti itu juga berlaku.

Walaubagaimanapun, keganasan yang dialami kaum lelaki berbanding dengan yang dialami oleh kaum wanita, kanak-kanak perempuan dan juga orang LGBTQ amat berbeza dari segi bahan dan kuantitnya. Keganasan yang dialami oleh lelaki dan kanak-kanak lelaki dibuat berdasarkan apa yang telah mereka katakan, tetapi keganasan terhadap wanita dan orang LGBTQ dibuat berdasarkan identiti gender atau orientasi seksual mereka, sama ada peranan (role) atau semata-mata kewujudan mereka.

Walaupun begitu, kita wajar menyedari bahawa wanita sebagai suatu kategori bukan semuanya sama. Keganasan berasaskan gender dalam talian tidak boleh difahami secara sepenuhnya tanpa mengkaji persimpangan identiti yang pelbagai dan hubungan kuasa. Kita tidak boleh menganggap bahawa wanita hanya mempunyai satu identiti dan mempunyai hanya satu jenis pengalaman dengan keganasan, dan sesetengah wanita mempunyai akses yang lebih baik kepada keadilan, kuasa ekonomi dan sumber-sumber lain berbanding wanita lain. Seorang wanita Melayu Islam yang bekerja sebagai peguam di Kuala Lumpur berkemungkinan lebih mendapat sokongan dan bantuan berbanding dengan wanita pelarian tanpa izin apabila berhadapan dengan keganasan yang sama.

Last updated