Membuat laporan polis

Anda mungkin berasa takut untuk membuat laporan polis, lebih-lebih lagi jika ia pengalaman pertama anda. Ramai yang pernah mendengar bagaimana pihak polis telah menggunakan kekerasan terhadap wanita, kanak-kanak perempuan, orang trans dan orang LGBT; salah laku ini termasuk gangguan seksual, keganasan fizikal, menyalahkan mangsa, dan keengganan polis untuk menyiasat atau melindungi mangsa. Senarai berikut adalah panduan tentang cara membuat laporan polis:-

  • Pertama sekali, di bawah Seksyen 3(3) Akta Polis, pegawai polis bertanggungjawab di bawah undang-undang untuk menerima dan memfailkan laporan anda. Ini bermakna, pegawai polis tidak boleh menolak dari merakam kenyataan anda, dan laporan anda akan dibuat dokumentasi. Walaubagaimanapun, proses penyiasatan tidak selalu bermula dengan serta merta. Jabatan Peguam Negara akan menilai laporan anda dan membuat pilihan jika ia patut disiasat atau tidak.

  • Anda boleh membuat laporan di mana-mana balai polis yang berdekatan. Tetapi, pihak polis mungkin memindahkan kes anda ke balai polis berlainan di mana insiden itu berlaku.

  • Anda juga boleh menyediakan draf laporan polis anda lebih awal dan pegawai polis boleh menggunakannya untuk dokumentasi mereka. Ini boleh membantu mengurangkan keperluan anda sebagai mengsa untuk menceritakan semula pengalamannya di hadapan pegawai polis yang mungkin atau mungkin tidak sensitif terhadap keperluan mangsa.

Apa yang patut dimasukkan dalam laporan polis:

  • Siapa: Ia penting untuk menjelaskan siapa yang terlibat dan penglibatan anda sebagai mangsa atau saksi. Pastikan anda senaraikan nama-nama pemangsa tersebut atau orang yang berkaitan dalam insiden tersebut.

  • Apa: Jelaskan apa yang terjadi mengikut kronologi masa ia berlaku. Ia penting untuk menyatakan apa yang berlaku kepada anda sepertimana anda mengalaminya, tidak kira jika ia keganasan atau gangguan.

  • Di mana: Jelaskan di mana insiden itu berlaku. Untuk gangguan dalam talian, anda boleh berkongsi di mana anda berada semasa anda menerima mesej atau bahan mengancam tersebut.

  • Bila: Jelaskan masa insiden itu terjadi, jika ia masih sedang berlaku atau anda percaya ia akan berlaku dalam masa terdekat.

  • Mengapa: Jelaskan mengapa anda fikir insiden itu berlaku atau motif atau tujuan pemangsa tersebut, jika anda mengetahuinya. Ingat, apa yang terjadi bukan salah anda dan keganasan berdasarkan gender tidak pernah sesuatu yang wajar dilakukan atau sesuatu yang patut diterima.

  • Bagaimana: Jelaskan bagaimana insiden itu telah memberi kesan buruk kepada anda, jika kesannya dalam bentuk fizikal, psikologi, emosi atau kewangan. Laporkan juga jika insiden itu memberi impak/kesan buruk kepada orang sekeliling anda.

  • Secara amnya, ada dua jenis laporan polis:

    • Laporan kes: Sebuah laporan kes difailkan apabila anda hanya ingin insiden itu dicatat secara rasmi, tetapi apa-apa tindakan terhadap kes tersebut belum dilakukan dan mungkin ia juga digunakan untuk situasi “tunggu dan lihat”.

    • Laporan tindakan: Sebuah laporan tindakan difailkan apabila anda ingin satu siasatan perlu dibuat dan mahukan pihak berkuasa mengambil langkah seterusnya.

  • Pegawai polis yang bertugas wajib membaca balik laporan anda kepada anda dan meminta anda menandatangani laporan tersebut sebagai langkah terakhir. Maklumat di dalam laporan itu boleh ditukar oleh anda, sebelum anda menandatangani laporan itu; tetapi selepas anda memberi tandatangan anda, maklumat itu tidak boleh ditukar lagi. Walaubagaimanapun, anda boleh memfailkan laporan polis kedua untuk mengemas kini atau memberi maklumat baharu tentang insiden tersebut.

  • Anda berhak untuk meminta maklumat tentang perkembangan kes anda. Di bawah Seksyen 107A(1) Kanun Prosedur Jenayah, anda boleh meminta maklumat tentang perkembangan kes anda dari pegawai polis yang bertugas.

Baca lebih lanjut tentang apa yang berlaku selepas anda memfailkan laporan polis.

Last updated