Penyamaran atau pencurian identiti

Definisi & Penerangan

Penyamaran atau pencurian identiti adalah perbuatan mencuri identiti seseorang dan data untuk menyamar sebagai mangsa. Dalam banyak kes, pemangsa menggunakan identiti mangsa untuk mencipta akaun sosial media palsu atau akaun emel palsu. Penyamaran atau pencurian identiti selalunya berkait dengan bentuk lain keganasan berdasarkan gender dalam talian. Contohnya, semasa gangguan dalam talian yang sedang berlaku terhadap seorang wartawan wanita, akaun palsu tentang dirinya telah dicipta untuk menhantar emel meminta perbuatan seks untuk mengganggu dan memfitnah wanita tersebut. Ada kes di mana akaun emel palsu dicipta untuk menghantar mesej-mesej jelik menggunakan nama mangsa.

Tindak Balas Insiden: Apa patut saya lakukan?

Penyamaran boleh dilakukan dengan pelbagai cara dan strategi melawan akan berbeza untuk setiap situasi. Apabila penyamaran berlaku melalui akaun media sosial, anda mungkin boleh pertimbangkan langkah-langkah berikut:

Maklumkan. Anda mungkin perlu maklumkan dan beri amaran kepada kenalan anda, yang profil itu palsu dan ia menyamar sebagai diri anda atau organisasi anda. Jika boleh, lakukannya dengan akaun email, media sosial atau ruang yang ada dalam kawalan anda.

Laporkan. Akaun yang menyamar itu perlu dipadamkan secepat mungkin.

Platform media sosial selalunya menyediakan mekanisme laporan untuk kes-kes sebegini. Dapatkan maklumat lanjut tentang melaporkan di media sosial.

Facebook | Twitter | Instagram | Tik Tok

Ia mungkin lebih sukar untuk menangani penyamaran tersebut jika ia dilakukan melalui nombor telefon atau emel kerana ia hampir mustahil untuk memaksa mana-mana syarikat untuk memadam nombor telefon atau alamat emel, dan tindakan perundangan mungkin diperlukan.

Dokumentasi. Membuat laporan tentang insiden itu bagus kerana ia mungkin menghasilkan pemadaman akaun yang menyamar itu. Walaubagaimanapun, penyamaran tersebut mungkin berterusan. Sebelum membuat laporan (di platform sosial media, atau kepada pihak berkuasa), jangan lupa membuat dokumentasi. Ada banyak cara untuk membuat dokumentasi; rakam profil yang menyamar, mesej-mesej dan bahan muat naik, simpan pautan berkenaan, simpan tangkapan skrin aduan anda, dll. Pastikan tangkapan skrin anda mengandungi tarikh insiden serangan tersebut. Jika anda mempertimbangkan untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa, dokumentasi anda amat berguna. Jika ia terlalu sukar, minta bantuan kenalan yang anda percayai.

Undang-undang di Malaysia tentang penyamaran dan kecurian identiti

Seksyen 420 Kanun Keseksaan “Barang siapa menipu dengan jalan demikian itu mendorong secara tidak jujur orang yang terpedaya, sama ada atau tidak perdayaan yang diamalkan itu ialah dorongan tunggal atau utama, supaya menyerahkan apa-apa harta kepada mana-mana orang, atau supaya membuat, mengubah, atau membinasakan kesemua atau apa-apa bahagian sesuatu cagaran berharga, atau apa-apa yang bertandatangan atau bermeteri , dan yang boleh dijadikan suatu cagaran berharga, hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun, dan dengan sebat, dan hendaklah juga dikenakan denda.”

Last updated