Penilaian Risiko secara DIY

Proses merangka pelan sekuriti untuk melindungi diri anda dari semua bentuk keganasan dan ancaman dari dalam talian memang amat sukar, memenatkan dan mengelirukan. Melindungi diri anda secara digital bukan bermakna kita perlu menggunakan peralatan yang terbaik. Sebaliknya, pembinaan sekuriti adalah proses yang berterusan dan berbeza untuk setiap individu. Sebahagian daripadanya mungkin perlukan perubahan sikap atau ada tahap kelecehan. Anda orang terbaik untuk membuat keputusan tentang apa yang tepat dan tidak, untuk pelan sekuriti anda.

Panduan ini akan membantu anda memahami risiko unik yang anda hadapi berdasarkan identiti, pengalaman, kemahiran anda, dan cara melawan ancaman-ancaman yang anda hadapi.

Apabila memilih apa yang anda perlu lakukan, jawab dahulu soalan-soalan berikut:

Siapa yang melakukannya? Adakah identiti mereka boleh dikesan, dan adakah mereka mempunyai sejarah tingkah laku ganas dan tidak menentu? Platform yang manakah yang mereka gunakan? Adakah mereka mempunyai kemudahan kewangan atau berpengaruh dari segi politik/sosial? Adakah mereka mahir dengan teknologi? Apakah hubungan mereka dengan anda? Adakah mereka mempunyai akses kepada maklumat dan kata laluan anda? Ini termasuk individu, sekumpulan individu, agensi kerajaan atau sebuah syarikat.

Apa yang perlu dilindungi? Di dalam konteks keganasan berdasarkan gender dalam talian, selalunya kita mahu melindungi “maklumat” tentang diri kita. Maklumat ini mungkin disimpan di dalam emel, senarai kenalan, mesej terus, fail komputer, pekerjaan, akaun media sosial, dan juga peranti kita. Ingat, bahawa nilai maklumat ini untuk kita berlainan bagi setiap individu. Jika mampu, fikirkan atau rakamkan maklumat yang anda ingin lindungi dan di mana ia tersimpan secara digital.

Cuba lakukan latihan mudah ini untuk membuat ujian kendiri tentang maklumat berkenaan diri anda yang sedia ada di alam digital.

Keluar dari akaun media sosial dan akaun emel anda sebelum melakukan ujian ini.

  • Google nama atau nama samaran yang anda gunakan di platform digital (jangan lupa memeriksa gambar yang berkait dengan nama itu)

  • Google nombor telefon anda

  • Google alamat rumah anda

  • Google nombor kad pengenalan anda

Di manakah keganasan itu berlaku? Adakah keganasan itu mungkin meningkat atau merebak ke platform lain? Adakah anda mampu mengelakkan diri dari memasuki ruang tersebut untuk sementara waktu? Adakah pemangsa itu berpindah platform atau masuk ke ruang nyata anda (contoh: mel suara, surat fizikal, atau bungkusan ditinggalkan di rumah atau tempat kerja anda)?

Apakah sekitaran anda? Adakah sekitaran anda meningkatkan ancaman tersebut? Adakah ancaman itu secara langsung dan spesifik? Adakah ia termasuk nama anda, masa tertentu, tempat tertentu, atau cara serangan yang tertentu? Apakah undang-undang dan dasar kerajaan di sekeliling anda? Adakah anda mempunyai akses kepada sokongan daripada keluarga, kawan-kawan atau komuniti anda?

Apakah tahap keburukan kesan dari keganasan tersebut jika anda tidak mengambil langkah-langkah untuk melindungi diri anda secara digital atau jika pemangsa itu mempunyai akses kepada maklumat anda? Apa akan pemangsa itu lakukan jika mereka ada akses kepada maklumat anda?

Hanya ANDA tahu apa peranti yang anda gunakan, apa perisian dan perkhidmatan yang anda pakai, bagaimana ia digunakan dan untuk apa. Pertimbangkan konteks-konteks yang disebut di atas dalam keputusan anda tentang strategi yang akan digunakan dan ingat, ia mungkin perlukan perubahan dari segi tingkah laku anda dan mungkin membawa kepada kelecehan baharu; oleh itu pilih strategi dan cadangan yang terbaik bagi situasi anda.

Last updated