Gangguan dan keganasan dalam talian

Definisi dan Penerangan

Gangguan dan keganasan dalam talian berlaku dalam pelbagai bentuk, termasuk “spam”, serangan berkumpulan (mob attacks), gangguan seksual, dan lain-lain. Ia patut di ambil kira bahawa gangguan dalam talian mempunyai banyak nama, seperti “dogpiling”, buli-siber, “trolling”, penderaan dalam talian, “flaming”, gangguan dll. Fenomena ini berlaku apabila seorang atau sekumpulan orang mengalami gangguan yang teruk dan merebak, oleh satu kumpulan besar yang menggunakan ugutan, cacian, makian dan taktik keganasan lain dengan jumlah yang banyak. Ada kalanya serangan tersebut diselaraskan dengan baik terhadap diri anda atau melibatkan golongan minoriti atau ia mungkin kejadian bersiri yang bertindih-tindih terhadap diri anda, di beberapa platform digital.

Akibat dan kesan buruk yang dialami oleh mangsa bergantung kepada, dan berbeza, berdasarkan persilangan (intersectionality) identiti yang mempengaruhi halangan yang sedia ada dan kemampuan mereka untuk mendapatkan akses kepada keadilan. Gangguan dan keganasan dalam talian mungkin melibatkan tingkah laku berikut:

  • Membuat komen ganas, memaki dan jelik terhadap dan tentang mangsa dengan niat untuk senyapkan dan menyebabkan kesan buruk terhadap mangsa;

  • Membuat usikan seksual dan/atau usikan seksual yang tidak diingini terhadap mangsa;

  • Menghina, mengutuk tubuh badan (body shaming) atau menggunakan nama-mati (dead-naming) mangsa.

  • Menghantar mesej yang mengugut dan/atau yang tidak diingini melalui pelbagai platform;

  • Menyebarkan maklumat palsu, maklumat tepat untuk memburukkan (malinformation), dan fitnah, tentang mangsa.

  • Menggalakkan dan mengapi-apikan orang lain untuk membuli, melakukan spam dan mengganggu mangsa;

  • Lakukan spam kepada peti masuk (inbox) akaun mangsa dengan banyak mesej dan/atau emel.

Tindak Balas Insiden: Apa patut saya lakukan?

Menilai risiko anda. Adakah gangguan dalam talian tersebut membuat anda risau tentang keselamatan fizikal anda atau keluarga dan rakan kerja anda? Kami ada proses penilaian risiko DIY yang anda boleh ambil untuk membuat keputusan tentang langkah seterusnya. Penilaian tersebut adalah hanya satu panduan, tetapi jika anda berasa tidak selamat secara fizikal, percayakan naluri anda. Anda mungkin perlu berpindah secara sementara ke sebuah hotel atau ke rumah kawan. Maklumkan kepada kenalan yang anda percayai tentang lokasi baharu anda (kami syorkan maklumat itu disalur dengan sistem yang disulitkan (encrypted) seperti Signal atau saluran rahsia Telegram)

Dokumentasi. Membuat dokumentasi bagus kerana bahan gangguan dalam talian itu mungkin dipadamkan. Ada banyak cara untuk membuat dokumentasi tentang gangguan tersebut; seperti mengambil tangkapan skrin mesej atau bahan gangguan tersebut, simpan pautan berkenaan, simpan tangkapan skrin aduan anda, dll. Pastikan tangkapan skrin anda mengandungi tarikh serangan tersebut. Jika anda ingin membuat laporan kepada pihak berkuasa, dokumentasi ini akan menjadi amat berguna.

Jika anda berasa tidak selesa untuk kembali ke platform di mana gangguan itu terjadi, minta bantuan kenalan yang anda percayai.

Susun sekuriti diri-digital. Apabila anda diganggu di dalam talian, ia penting untuk mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan risiko anda. Gunakan mod peribadi di akaun sosial media anda untuk mencegah puak “troll’ atau para pengganggu untuk terus mengganggu anda. Mereka mungkin cuba mencerobohi akaun sosial media anda yang lain. Ada banyak sebab mereka berkelakuan sebegini: untuk terus memalukan anda, dox anda, pindahkan keganasan tersebut dari dalam talian (online) ke dunia nyata (offline), atau menggunakan maklumat peribadi anda dengan niat jahat.

Ia munasabah untuk anda gunakan mod beribadi bagi akaun media sosial anda untuk sementara waktu, sehingga anda kembali berasa selamat. Anda patut menilai kekuatan kata laluan anda dan jika ia perlu ditukar untuk memperkasakan sekuriti anda. Selain itu, ada juga pilihan untuk menutup semua akaun anda untuk sementara waktu.

Laporkan, senyapkan, sekat. Selepas anda membuat dokumentasi berkenaan gangguan tersebut, laporkan di platform berkenaan. Setiap platform sosial media mempunyai kaedah untuk pengguna membuat aduan terhadap bahan yang mengganggu atau melanggar. Dapatkan maklumat tentang cara membuat laporan di media sosial di sini. Anda juga boleh sekat atau senyapkan (mute) akaun yang mengganggu anda supaya mereka tidak dapat melihat bahan muat naik anda atau menghubungi anda dan sebaliknya.

Melaporkan kepada polis atau SKMM. Ini masanya dokumentasi anda menjadi berguna. Tiada undang-undang khusus di Malaysia terhadap gangguan dalam talian, tetapi undang-undang berkenaan gangguan seksual, ucapan benci dan keganasan yang sedia ada patut disambungkan juga ke jenayah yang terjadi di ruang digital. Ia munasabah jika anda takut untuk pergi ke pihak berkuasa. Jika anda membuat keputusan untuk membuat sebuah laporan, kami harap maklumat di sini akan membantu anda.

Nota: Membuat laporan mungkin dilihat seperti langkah yang mudah bagi orang ramai, tetapi bagi mangsa ia sesuatu yang sukar; dan ini bukan satu masalah. Perkara yang penting adalah mengelakkan trauma yang telah mereka alami berulang (“retraumatization”). Jika anda berasa proses ini amat sukar, kami syorkan anda mencari seorang yang anda percayai untuk membantu anda.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah meyediakan borang bagi rakyat untuk membuat aduan terhadap bahan media, termasuk gangguan dalam talian. Pautan ke borang aduan SKMM.

Berkongsi dengan kawan-kawan anda. Jika anda berkemampuan, cuba berhubung dengan mereka yang mengambil berat tentang anda dan kesejahteraan anda. Ia mungkin sesuatu yang susah untuk menjelaskan apa yang sedang anda alami dengan kata-kata. Lebih-lebih lagi, kerana keganasan berdasarkan gender dalam talian masih belum difahami oleh ramai orang dan trauma anda masih segar. Cuba fikirkan seorang yang anda percayai untuk membina ruang selamat untuk anda, dan emosi dan fikiran kusut anda. Mulakan dengan berkongsi apa yang terjadi, apa perasaan anda dan apa anda mahukan dari segi sokongan. Mungkin seorang yang menyokong anda dan memahami apa yang sedang anda lalui, boleh meringankan beban yang anda tanggung. Fikiran yang gelisah mungkin tidak membenarkan anda ruang untuk mengambil langkah-langkah tepat untuk mempertahankan diri anda, tetapi kawan-kawan dan ahli keluarga anda boleh membantu! Fahamilah bahawa anda tidak perlu lalui semua ini bersendirian.

Kesejahteraan diri. Kami faham yang keganasan berdasarkan gender dalam talian yang anda alami telah memberi kesan buruk kepada diri anda secara mental, emosi dan fizikal. Ingat, ia bukan salah anda dan mereka tidak sepatutnya mengganggu atau menyakiti diri anda. Ia mungkin boleh membantu jika anda menjadualkan masa-masa khusus untuk menarik diri dari ruang digital tersebut. Dan jika anda ingin menyuarakan apa-apa tentang kejadian tersebut, percaya bahawa anda berkemampuan untuk membuat kata putus tentang cara ia dilakukan. Bantuan pakar kesihatan mental juga boleh menolong anda, lebih-lebih lagi jika anda telah sampai ke tahap di mana anda berasa tiada harapan atau berasa lumpuh dengan ketakutan; atau anda bercerita tentang keganasan itu secara berlebih-lebihan, atau anda susah untuk menikmati apa-apa, atau anda berasa sukar untuk makan atau tidur. Dapatkan maklumat tentang cara mementingkan kesejahteraan diri anda di sini.

Undang-undang tentang gangguan dan keganasan dalam talian

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia menjadikan kesalahan bagi sesiapa yang membuat, mewujudkan atau meminta-minta dan memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain. Akta ini membela mangsa-mangsa gangguan dan keganasan dalam talian. Akta Antigangguan Seksual 2022 menghukum apa-apa kelakuan tidak diingini yang bersifat seksual, dalam apa-apa bentuk, sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal, yang ditujukan kepada seseorang yang secara munasabahnya menyinggung atau menghina atau merupakan suatu ancaman kepada kesejahteraannya. Ini akan delanjutkan kepada gangguan seksual yang dilakukan atau dibantu oleh teknologi digital.

Last updated