Peras ugut seksual (Sextortion) & memeras ugut

Definisi & Penerangan

Peras ugut seksual (Sextortion) adalah perbuatan membuat ugutan untuk menyebarkan maklumat intim atau berunsur seksual, selalunya dalam bentuk gambar dan/atau video. Ia dilakukan untuk memaksa mangsa menurut kehendak orang yang membuat ugutan tersebut. Tujuannya mungkin untuk mendapatkan maklumat, melakukan hubungan seks, atau mendapatkan duit dari mangsa. Walaupun peras ugut seksual ini di bawah kategori perbuatan peras ugut, ia boleh dilihat sebagai berbeza dari segi menggunakan stigma masyarakat berkenaan seksualiti kita. Ini memberi kesan lebih buruk kepada wanita, kanak-kanak perempuan dan orang LGBTQI.

Ia penting untuk mengambil kira persilangan (intersectionality) jenis-jenis kerentanan dalam kes peras ugut seksual (sextortion), yang memberi kesan besar kepada halangan dan laluan bagi mangsa untuk mendapat keadilan/sokongan/penyelesaian. Contohnya, beberapa mesej Whatsapp, yang tidak mempunyai gambar intim mangsa, mampu membawa kesan buruk bagi mangsa yang mempunyai keluarga konservatif, yang belum sedia untuk menerima identiti mangsa sebagai seorang transgender.

Peras ugut seksual juga berlaku dalam konteks “dating scam”. Pemangsa selalunya berusaha mendapat kepercayaan mangsa sebelum meyakinkan mangsa untuk menghantar gambar-gambar intim atau membuat panggilan video dan berhelah dengan mangsa supaya mereka melakukan perbuatan seksual atau menggayakan posisi intim dalam panggilan video tersebut; dan selepas itu ia akan digunakan sebagai senjata terhadap mangsa. Si pemangsa menggunakan kemahuan manusia untuk berpasangan dan memanipulasi emosi mangsa untuk kegunaan mereka sendiri. Pada May 2021, OCPD Petaling Jaya berkongsi yang terdapat 21 kes peras ugut seksual (sextortion) yang telah dilaporkan kepada polis. OCPD tersebut berkata banyak kes melibatkan sindiket, dan sesetengah pemangsa dikenali oleh mangsa. Pada September pada tahun sama, 300 kes peras ugut seksual dilaporkan.

Tindak Balas Insiden: Apa patut saya lakukan?

Dalam sesetengah kes, pemeras ugut akan melarikan diri apabila anda memutuskan semua hubungan dengan mereka, tetapi ada yang memang berniat jahat. Tidak kira apa pun niat si pemeras ugut, ia bukan salah anda. Berikut adalah beberapa langkah yang pernah diambil oleh mereka dalam situasi sama.

Laporkan kepada polis. Perbuatan peras ugut adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan Malaysia. Walaubagaimanapun, ramai mangsa berkongsi bagaimana pihak polis enggan menerima aduan atau menyalahkan mangsa. Pihak polis lebih cenderung untuk menolak kes peras ugut yang tidak melibatkan unsur-unsur kewangan, iaitu penyelesaiannya hanyalah kembali kepada pasangan mangsa. Ia munasabah jika anda takut untuk pergi kepada pihak berkuasa. Jika anda membuat keputusan untuk membuat sebuah laporan, kami harap maklumat di sini akan membantu anda.

Nota: Membuat laporan mungkin dilihat seperti langkah yang mudah bagi orang ramai, tetapi bagi mangsa, ia sesuatu yang sukar; dan ini bukan satu masalah. Perkara yang penting adalah mengelakkan trauma yang telah mereka alami berulang (“retraumatization”). Jika anda berasa proses ini amat sukar, kami syorkan anda mencari seorang yang anda percayai untuk membantu anda.

Sekat (Block). Hentikan semua komunikasi dengan si pemeras ugut dengan serta merta. Ada kalanya, situasi boleh menjadi lebih buruk jika anda berdepan dengan mereka. Sekat mereka dari emel, perisian mesej dan media sosial anda. Jangan lupa untuk menukar tetapan privasi anda supaya mereka tidak mendapat akses kepada senarai kawan atau pengikut (followers) anda.

Kuatkan kunci-kunci anda. Anda mungkin perlu pertimbangkan untuk menukar semua kata laluan anda untuk mencegah orang lain dari menceroboh dan menggodam maklumat anda. Jika anda ada pilihan, gunakan kata laluan yang panjang, kuat dan unik dan guna pengesahan dua langkah. Dapatkan maklumat tentang bagaimana untuk menjana dan mempertahankan kata laluan yang kuat di sini:

Security in a Box

Surveillance Self-Defence

Doxxing diri sendiri. Untuk memastikan maklumat peribadi anda tidak terbocor ke internet, ada kalanya ia membantu untuk cuba melakukan dox terhadap diri anda sendiri. Anda tahu diri anda sendiri dengan terbaik!

Pantau. Cari jalan untuk memantau insiden-insiden tersebut supaya anda boleh menilai risiko anda dan membuat keputusan untuk langkah selanjutnya. Jika ia terlalu sukar, minta bantuan kawan anda untuk memantau akaun anda dan platform-platform berkenaan.

Undang-undang tentang peras ugut seksual dan peras ugut.

Seksyen 383 Kanun Keseksaan menyatakan “pemerasan ialah apabila seseorang sengaja mendatangkan ketakutan kepada orang lain mengenai suatu bencana akan menimpa orang itu atau kepada orang lain di mana melalui perbuatan tersebut bertujuan mendorong mangsa secara tidak jujur untuk menyerahkan harta atau cagaran berharga.”

Last updated