Sebaran gambar intim tanpa izin (NCII)

Definisi & Penerangan

Sebaran gambar intim tanpa izin (NCII) dikenali sebagai “revenge porn”, di mana ia sering dikaitkan dengan perbuatan bekas kekasih yang menyebarkan gambar-gambar/video intim tanpa mendapatkan izin dari si mangsa; sebaran dibuat di platform digital sebagai perbuatan balas dendam atau kemarahan terhadap mangsa tersebut. Terma “revenge porn” tidak tepat kerana ia tidak menjelaskan motivasi sebenar, ciri-ciri dan kesan buruk perbuatan tersebut. Ini kerana terma tersebut memberi tiga gambaran palsu berikut:

Pertama, ia menggambarkan seperti ia hanya berkait dengan bekas kekasih, tetapi ini tidak tepat. Sesiapa pun boleh menjadi mangsa perbuatan ini.

Kedua, ia membawa implikasi bahawa perlunya ada mangsa dalam “revenge porn” tersebut, kerana jika ada ciri balas dendam, perlu ada mangsa. Ini mendorong orang berfikir yang si mangsa telah melakukan satu kesalahan kerana ada balas dendam terhadap kesalahan tersebut, dan ini membawa kepada masalah menyalahkan mangsa (‘victim-blaming’).

Akhir sekali penggunaan terma “porn” memberi gambaran yang gambar intim gambar intim mangsa tersebut adalah sesuatu yang boleh digunakan untuk memuaskan nafsu seksual seseorang.

Oleh itu, ramai telah menyarankan terma “revenge porn” ditukar dengan terma “non-consensual dissemination of intimate images - NCII (sebaran gambar intim tanpa izin)”. NCII terjadi apabila gambar atau video intim seseorang itu disebarkan dan/atau diterbitkan tanpa izin individu dalam gambar atau video tersebut. NCII boleh terjadi walaupun mangsa telah memberikan izin untuk gambar atau video itu diambil. Tetapi, perkara penting yang perlu diambil kira adalah mangsa TIDAK PERNAH MEMBERI IZIN gambar/video mereka dikongsi dengan orang lain dan di platform awam.

NCII dilihat sebagai pelanggaran autonomi tubuh badan seseorang itu dan hak untuk privasi di mana mereka hilang keupayaan terhadap siapa yang dibenarkan melihat gambar-gambar atau video intim mereka. Ia dilakukan untuk pelbagai sebab, termasuk peras ugut kewangan, voyeuristik , ciri-ciri sadis, tekanan sosial atau memalukan mangsa di khalayak ramai (“public shaming”).

Tindak Balas Insiden: Apa patut saya lakukan?

Dokumentasi. Sebelum membuat laporan (tidak kira di platform digital atau kepada pihak berkuasa), ia penting untuk anda rakam apa yang telah berlaku. Ia mungkin sesuatu yang susah, oleh itu ia bukan satu masalah jika anda tidak dapat lakukannya secara berseorangan. Kami syorkan anda mencari kenalan yang anda percayai untuk membantu anda.

Laporkan. Jika ia telah dimuat naik ke platform media sosial, hampir kesemua platform media sosial ada kaedah untuk pengguna melaporkan bahan-bahan dimuat naik yang bermasalah. Dapatkan maklumat tentang cara membuat laporan di media sosial di sini. Membuat laporan adalah langkah penting yang anda boleh lakukan tentang sebaran gambar intim di dalam talian–anda boleh melakukannya jika anda mangsa atau seorang yang sedang membantu seorang mangsa.

Laporkan kepada polis atau SKMM. Menyebarkan gambar-gambar intim adalah satu kesalahan di Malaysia, tetapi ia masih kurang dilaporkan. Ini mungkin kerana anda berasa tidak selamat untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa. Jika anda membuat keputusan untuk melaporkannya, kami harap maklumat di sini akan membantu anda.

Suruhanjaya Komunikasi dan Media Malaysia ada borang aduan yang anda boleh akses apabila ada bahan yang tidak selari dengan polisi mereka (Memuat-naik bahan ‘lucah’ adalah melanggar garis-panduan SKMM) dan mereka boleh meminta platform media sosial itu memadamkan bahan tersebut. Anda boleh mendapat borang tersebut di sini.

Nota: Membuat laporan mungkin dilihat seperti langkah yang mudah bagi orang ramai, tetapi bagi mangsa, ia sesuatu yang bukan senang; dan ini bukan satu masalah. Perkara yang penting adalah mengelakkan trauma yang telah mereka alami berulang (“retraumatization”). Jika anda berasa proses ini amat sukar, kami syorkan anda mencari seorang yang anda percaya untuk membantu anda.

Kesejahteraan diri. Kami faham jika keganasan berdasarkan gender dalam talian yang anda alami telah memberi kesan buruk kepada diri anda, secara mental, emosi dan fizikal. Ingat, ia bukan salah anda dan mereka tidak sepatutnya menyebarkan gambar-gambar itu dan mengganggu diri anda sebegitu. Ia mungkin boleh membantu jika anda menjadualkan masa-masa khusus untuk keluar dari ruang digital tersebut. Bincangkan dengan seseorang yang anda percayai dan minta bantuan mereka jika anda perlukannya. Dan, jika anda ingin menyuarakan apa-apa tentang kejadian tersebut, percaya bahawa anda berkemampuan untuk membuat kata putus tentang cara ia dilakukan. Bantuan pakar kesihatan mental juga boleh menolong anda, lebih-lebih lagi jika anda telah sampai ke tahap di mana anda berasa tiada harapan atau berasa lumpuh dengan ketakutan; atau anda bercerita tentang keganasan itu secara berlebih-lebihan, atau anda susah untuk menikmati apa-apa, atau anda berasa sukar untuk makan atau tidur. Dapatkan maklumat tentang cara mementingkan kesejahteraan diri anda di sini.

Senarai undang-undang berkenaan sebaran gambar-gambar intim

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia menjadikan kesalahan bagi sesiapa yang membuat, mewujudkan atau meminta-minta dan memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Seksyen 509 Kanun Keseksaan menegaskan “barang siapa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan seseorang menyebut apa-apa perkatan, membuat apa-apa bunyi atau isyarat, atau menunjukkan apa-apa benda, dengan maksud supaya perkataan atau bunyi itu didengar, atau supaya isyarat atau benda itu dilihat oleh seseorang itu, atau mengganggu kesantunan seseorang itu, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya”.

Last updated