Pengenalan
Sebuah kit sumber maklumat feminis untuk keganasan berdasarkan gender dalam talian.
Kit sumber maklumat ini tentang apa?
Keganasan berdasarkan gender dalam talian (OGBV) berakar dari ketidaksaksamaan gender dalam struktur masyarakat dan norma sosial yang bersikap diskriminasi. Banyak insiden OGBV bukan perkara baharu, dan sebenarnya, adalah sambungan dari keganasan berdasarkan gender yang dialami oleh wanita dan kanak-kanak perempuan. Namun begitu, komponen teknologi dalam keganasan tersebut menambah elemen ulangan, perluasan, dan peniruan yang membantu pemangsa mendapat akses kepada wanita dan kanak-kanak perempuan (dan kanak-kanak lelaki dan lelaki dewasa) yang mereka sasarkan dan meningkatkan dan parahkan lagi kesan keganasan tersebut. Insiden seperti serangan berkumpulan (mob attack), doxxing dan gangguan dalam talian meningkatkan kesan buruk dan keganasan tersebut, sambil menggunakan peralatan sama yang kita perlukan untuk kebebasan maklumat dan kebebasan bersuara.
Di dalam kit sumber maklumat ini, kami mengupas keganasan berdasarkan gender dalam talian (OGBV) dan memberi penjelasan-penjelasan khusus untuk membantu anda mengenal pasti segala perkembangan OGBV. Kami juga membincangkan langkah-langkah yang anda boleh ambil apabila anda berhadapan dengan risiko keganasan berdasarkan gender dalam talian, termasuk bantuan awal, penyelesaian yang ada, dan undang-undang yang berkenaan, kemudahan untuk sokongan mental dan emosi, dan panduan untuk membuat laporan polis.
Kit sumber maklumat ini adalah sesuatu yang sentiasa dikemaskini untuk menangani masalah OGBV yang semakin parah kini. Ia ditulis dan disusun oleh kumpulan dari KRYSS Network, dan dibina di atas ilmu dan daya tahan kolektif para feminis dan aktivis yang telah mempertahankan dan menegakkan ruang digital.
Kit sumber maklumat ini untuk siapa?
Kit sumber maklumat ini bertujuan untuk memberi panduan praktikal dan ilmu pengetahuan bagi sesiapa yang telah terkesan oleh keganasan berdasarkan gender dalam talian (OGBV), atau sesiapa yang memberi sokongan kepada mangsa/pemandiri OGBV, atau sesiapa yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang isu-isu ini.
Cara menggunakan kit sumber maklumat ini
Kit sumber maklumat ini satu susunan tip-tip, nasihat dan panduan dari para feminis dan mereka yang telah mengalami keganasan dalam talian atau mereka yang telah memberi sokongan kepada mereka yang terkesan oleh keganasan dalam talian.
Keganasan berdasarkan gender dalam talian muncul dalam pelbagai bentuk dan memberi kesan berbeza kepada mangsa/komuniti berdasarkan keadaan lokasi sosial (social location), kelebihan dan kerentanan kita. Kit sumber maklumat ini tidak menjawab semua soalan kerana setiap tindak balas mangsa berlainan, mengikut keadaan mangsa tersebut, dan kami percaya mangsa itu ada hak untuk memilih langkah-langkah yang mereka ingin lakukan, termasuk memadam semua akaun sosial media mereka jika perlu, untuk melindungi diri mereka.
Kategori keseluruhan kit sumber maklumat ini
Kategori keseluruhan kit sumber maklumat ini dipecahkan kepada lima bahagian:
Memahami keganasan berdasarkan gender dalam talian: Pemahaman tentang mengapa keganasan dalam talian memberi kesan yang tidak setara berdasarkan identiti gender dan orientasi seksual, dan bagaimana ia berakar di dalam kategori ketidaksaksamaan gender.
Jenis keganasan berdasarkan gender: Keganasan berdasarkan gender boleh menjelma dalam pelbagai bentuk di dalam ruang digital - dan ia berbeza berdasarkan ciri-ciri yang disediakan di platform tersebut, interseksionaliti (persilangan) dan konteks budaya-sosial kita, pencapaian untuk keadilan, etc.
Tindak balas awal terhadap keganasan berdasarkan gender dalam talian: Tindak balas terhadap keganasan berdasarkan gender dalam talian bermula dengan mengutamakan kesejahteraan diri anda dan memahami tahap risiko anda.
Tindak balas terhadap insiden: Tip dan panduan bagi memberi tindak balas kepada insiden khusus dalam keganasan berdasarkan gender dalam talian.
Memahami undang-undang Malaysia: Sistem perundangan kita jauh dari sempurna dan ia tidak bertumpu kepada para pemandiri. Walaubagaimanapun, ia penting untuk tahu hak-hak kita dalam undang-undang dan apa penyelesaian perundangan yang ada untuk kita, supaya kita boleh memberi suara kepada kehendak kita dan berjuang untuk perlindungan yang lebih baik bagi semua.
Penghargaan
Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang mengambil bahagian dalam bengkel konsultasi kit sumber maklumat kami, yang telah berkongsi pengalaman dan strategi untuk menangani keganasan berdasarkan gender dalam talian.
Penghargaan ditujukan kepada Appolonia Tesera kerana menghidupkan kit sumber maklumat kami melalui seninya. Semua lukisan dalam kit sumber maklumat ini dilukis oleh Appolonia Tesera.
Last updated